Tempoh permohonan rayuan BSH 2019 dibuka mulai hari ini

PUTRAJAYA: Tempoh permohonan rayuan bagi program Bantuan Sara Hidup (BSH) akan dibuka mulai hari ini hingga 15 Ogos 2019.

Kementerian Kewangan, dalam satu kenyataan, berkata ia bagi memastikan program BSH 2019 disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak.

“Dengan adanya proses rayuan ini, mereka yang tidak layak masih diberi ruang mengemukakan rayuan berserta dengan dokumen berkaitan untuk pengesahan semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Permohonan rayuan boleh dibuat secara dalam talian di portal BSH https://bsh.hasil.gov.my/, atau dengan hadir ke mana-mana cawangan atau Pusat Khidmat Hasil (PKH) dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) LHDN,” katanya.

Menurut Kementerian Kewangan, pembayaran BSH 2019 fasa kedua dilaksanakan mulai 28 Mei lalu berdasarkan kategori, merangkumi bilangan anak atau tanggungan dan jumlah nilai BSH 2019 yang akan diterima.

Katanya, pembayaran dibuat setelah proses pengesahan dijalankan, membabitkan 3.6 juta penerima yang diluluskan dan setakat ini, jumlah keseluruhan pembayaran bagi Fasa 1 dan 2 adalah RM2.62 bilion.

“Bayaran fasa kedua ini membabitkan peruntukan RM1.42 bilion, termasuk bayaran untuk tanggungan membabitkan 3.2 juta anak penerima BSH berumur 18 tahun ke bawah, terhad kepada empat orang, kecuali anak orang kurang upaya (OKU) yang tidak dihadkan umur,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kerajaan akan terus mengambil langkah proaktif menangani masalah dan isu yang timbul sepanjang pelaksanaan BSH.

“Kerajaan juga akan sentiasa menambahbaik program BSH bagi memastikan bantuan yang diberikan berkesan dan mencapai kumpulan sasar ditetapkan, terutama golongan B40 dalam membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2747 serta e-mel kepada [email protected].

Kredit: Berita Harian Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Shop By Categories