Tangkap ikan tanpa permit, lelaki warga asing ditahan Polis Marin

LABUAN: Tindakan nelayan warga asing menangkap ikan tanpa sebarang permit atau lesen membawa padah apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam Ops Gelora di perairan Tanjung Kubong, semalam.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 11 pagi itu, lelaki warga Filipina berusia 21 tahun ditahan bersama 20 kilogram pelbagai jenis ikan disyaki hasil aktiviti menangkap ikan di kawasan berkenaan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata ketika operasi, bot ronda PPM telah mengesan sebuah bot pam di kawasan empat batu nautika utara Tanjung Kubong.

“Juragan bot didapati sedang leka menjalankan aktiviti menangkap ikan dan hasil pemeriksaan mendapati juragan berkenaan gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan lanjut terhadap bot berkenaan juga menemui pelbagai jenis ikan yang dianggarkan seberat 20 kilogram dan dalam masa sama, juragan gagal menunjukkan sebarang permit atau lesen menangkap ikan di perairan Labuan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, juragan itu terpaksa ditahan manakala bot pam serta dua enjin dirampas serta dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Labuan untuk tindakan dan siasatan lanjut.

“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM10,950 dan kes disiasat mengikut Seksyen 11(3)(b) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus meningkatkan operasi di perairan negeri ini bagi mengekang aktiviti yang menyalahi undang-undang sepanjang Ramadan dan menjelang perayaan Aidilfitri terutamanya dalam usaha memerangi kegiatan jenayah rentas sempadan dan jenayah alam sekitar.

Kredit : BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Shop By Categories