Tahniah, pelajar GIATMARA harumkan nama Malaysia

Pelajar GIATMARA memenangi pingat emas dalam Pertandingan Kemahiran Dunia (GSC) 2019 kategori elektrikal, Amir Syazwan Saridan (kanan) dan pemenang pingat perak kategori Teknologi Fesyen, hanafi Osman bersama sijil kemenangan tiba di Balai Ketibaan KLIA dari Melbourne – Sumber Harian Metro

Pingat emas dan perak berjaya diraih oleh peserta dari GIATMARA iaitu Amir Syazwan Saridan bagi kategori pemasangan elektrik dan Hanafi Osman bagi kategori teknologi fesyen manakala pingat gangsa diraih oleh Timorthy Bakery.

Pelajar GIATMARA Taiping, Perak, Amir Syazwan, 21, ketika ditemui berkata, beliau langsung tidak menyangka meraih pingat emas dalam pertandingan itu memandangkan persaingan daripada peserta lain amat sengit.

“Bila nama saya disebut sebagai pemenang pingat emas, saya seperti tidak percaya. Ia bagaikan mimpi.

“Tetapi ini mungkin berkat usaha dan latihan selama ini selain menyertai beberapa pertandingan di peringkat antarabangsa termasuk Bangkok, Thailand dan Abu Dhabi sebelum ini, memberi saya pengalaman untuk lebih bersedia,” katanya ketika ditemui sebaik tiba dari Melbourne, Australia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Ketibaan kontinjen itu disambut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif GIATMARA, Ahmad Hamdi Ibrahim.

GSC 2019 adalah pertandingan kemahiran peringkat dunia yang disertai 16 negara dengan mempertandingkan 24 jenis kemahiran.

Malaysia berjaya menempatkan kontinjennya dengan menyertai sebanyak 13 bidang kemahiran dan GIATMARA adalah antara institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang julung kalinya berjaya menempatkan seramai empat peserta dalam pertandingan itu.

Sementara itu, pelajar GIATMARA Saratok, Sarawak, Hanafi, 21, berkata GSC 2019 memberi ruang kepadanya untuk memantapkan kemahiran sebelum bertanding di dua lagi pertandingan kemahiran selepas ini iaitu di China dan Kazan, Russia.

“Walaupun bersaing dengan negara lain yang ternyata hebat, kejayaan kami membuktikan hasil pelatih GIATMARA diiktiraf dunia,” katanya yang turut meraih anugerah ‘Best In Nation’ pada pertandingan itu.

Sementara itu, Ahmad Hamdi berkata, kejayaan GIATMARA di GSC 2019 adalah sangat membanggakan.

“Ini adalah langkah terbaik untuk persediaan ke pertandingan lebih besar iaitu World Skill Championship 2019 di Kazan, Russia tidak lama lagi.

“Kita yakin, rentak kejayaan ini akan dapat dikekalkan untuk meraih pingat di Kazan nanti kerana ini adalah salah satu platform untuk mengetengahkan TVET di peringkat lebih tinggi memandangkan ia adalah bidang penting dan mampu menjamin kehidupan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Shop By Categories