STAGG, STING, STAFOC dimansuh

Anggota STAFOC menyertai perbarisan sambutan Hari Polis di Kuala Lumpur tahun lalu. FOTO arkib NSTP

TIGA Pasukan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah dimansuhkan sebagai langkah penstrukturan semula beberapa jabatan dalam agensi keselamatan itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, bagaimanapun, seperti dimaklumkannya sebelum ini, proses pertukaran membabitkan pegawai dan anggota di tiga pasukan khas berkenaan memasuki 60 peratus dan dijangka lengkap dalam masa terdekat.

“Ya saya sahkan. Tiada lagi tiga pasukan khas seperti Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG), Pasukan Khas Taktikal Narkotik (STING) dan Pasukan Khas Jenayah Terancang (Stafoc) dalam PDRM,” katanya.

Semalam akhbar melaporkan mengenai proses pertukaran dan penempatan semula pegawai dan anggota tiga pasukan tersebut giat dilakukan PDRM.

Namun, pertukaran tersebut bukan bermakna tiga pasukan khas PDRM itu akan dibubarkan kerana ianya memerlukan waran pelaksanaan.

Susulan itu, tular di laman sosial sejak semalam sebuah video yang memaparkan rakaman majlis perpisahan pasukan Stafoc

Melalui video berdurasi 30 saat itu turut memaparkan sebahagian pegawai dan anggota terlibat sedih berikutan pembubaran pasukan itu.

Sementara itu, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi status dimuat naik di akaun Twitternya menyatakan pembubaran tiga pasukan itu diharap tidak mengecewakan warga PDRM.

“Pembubaran STING, STAGG dan STAFOC, warga PDRM diharap tidak kecewa. Sebenarnya mereka yang bubarkan tidak tahu keberkesanan unit-unit ini. Teruskan perjuangan di mana unit saudara dan saudari (pegawai polis tiga unit berkenaan) ditugaskan.

“Jasa saudara dan saudari di STING, STAGG dan STAFOC akan tetap dikenang oleh masyarakat khususnya mangsa-mangsa jenayah terancang. Tugas murni ini mesti diteruskan demi agama, bangsa dan negara,” katanya.

Khalid turut berkongsi rakaman video terbabit di akaun Twitternya.

“Kesedihan Datuk Komander amat difahami. Semoga saudara dan saudari, warga STING, STAGG dan STAFOC terus maju jaya di tempat tugas baharu,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Shop By Categories