Padah rasuah polis RM150

IPOH: Seorang pekerja kedai runcit warga Pakistan dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memberi rasuah RM150 kepada polis, 20 Mac lalu.

Tertuduh, Syed Ijaz Ali Shah,28, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, S Indra Nehru.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menawarkan suapan wang tunai RM150 kepada Ketua Balai Polis Sungai Siput Utara, Inspektor Abdul Wahed Hamid, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap rakannya yang ditahan atas kesalahan menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di Balai Polis Sungai Siput Utara, kira-kira jam 1.30 petang, 20 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa SPRM, R Kumuthambal, manakala tertuduh diwakili peguam, R Rajasegaran.

Indra Nehru kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara sebulan bermula tarikh tangkap 20 Mac lalu serta denda RM10,000 dan sekiranya gagal bayar akan dikenakan penjara enam bulan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Shop By Categories