LIMA’19 buka tirai

PAMERAN Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) akan membuka tirai bagi edisi ke-15, esok.

Program dwitahunan yang sudah hampir tiga dekad dianjurkan itu sudah pasti menampilkan kematangan teknologi syarikat pertahanan dunia dalam mempamerkan dan menawarkan sistem persenjataan, perisikan dan pemantauan yang baharu selaras dengan era permodenan industri pertahanan.

India dijangka menampilkan pesawat pejuang ringan (LCA) ‘Tejas’ sementara China pula akan memperkenalkan pesawat tanpa pemandu Wing Loong II mereka.

Apa yang menarik, kelengkapan keluaran dua negara Asia ini mungkin sesuai untuk kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang kini sedang mengintai calon skuadron pesawat LCA dan UAV dalam memperkukuhkan lagi pertahanan ruang udara negara.

Jika pada edisi terdahulu, majoriti pempamer syarikat gergasi dunia daripada Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Russia seperti BAE Systems, Airbus serta Boeing.

LIMA bukan sekadar pameran sebaliknya sejak edisi pertama pada 1991 ia menjadi medan menilai keampuhan aset pertahanan.

Bagi Malaysia sendiri keputusan memperoleh pesawat pejuang seperti MIG-29, SU-30MKM dan FA-18D Hornet dilakukan selepas penganjuran LIMA.

Pameran LIMA’19 kali ini disertai 350 syarikat pempamer tempatan dan antarabangsa yang membabitkan 32 negara, diadakan di dua lokasi iaitu Dewan Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dan Resort World Langkawi (RWL) dari 26 hingga 30 Mac.

Turki yang terkenal dengan kemajuan industri pertahanannya menempah pavilion terbesar dengan keluasan 730 meter persegi diikuti Russia 697 meter persegi.

Setiap kali penganjuran LIMA pertunjukan udara pasti menjadi acara paling ditunggu oleh pengunjung dan tahun ini pasukan aerobatik, Russian Knights, Tentera Udara Russia kembali ke Langkawi mempersembahkan aksi mereka menggunakan pesawat pejuang Su-30SM.

Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Udara (TNI-AU) pula menghantar pasukan aerobatik Jupiter yang menerbangkan pesawat jenis KT-1B Woong Bee.

Turut mempamerkan kehebatan di angkasa adalah pasukan aerobatik Aerotree (Challanger 88).

Selain itu TUDM juga menjanjikan aksi lebih hebat dan luar biasa pada edisi LIMA’19 malah latihan aerobatik sudah dijalankan di Pangkalan Udara Butterworth bagi memastikan persembahan dipertontonkan memuaskan hati pengunjung.

Pertunjukan udara TUDM membabitkan pesawat Sukhoi Su-30MKM sebanyak enam buah, F/A-18D Hornet (4), Hawk 108/208 (6), pesawat pengangkut A400M (3), PC 7 MKII (8) dan helikopter EC-725 (3) serta Sikorsky S-61A-4 Nuri (2).

Antara kelainan dan pembaharuan yang dilakukan TUDM pada tahun ini ialah aksi solo persembahan udara pesawat pengangkut A400M dan gandingan pesawat tempur Su-30MKM bersama F/A-18D Hornet.

Sebanyak 98 pesawat, helikopter dan UAV versi tentera atau awam terbabit dalam pameran statik serta pertunjukan udara sepanjang LIMA’19 berlangsung.

Antara pesawat terbabit dalam pertunjukan udara adalah Yak-130 dan Harbin Z9, paling menarik adalah ‘fly pass’ oleh pesawat pengebom B-52 milik Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF).

Bagi pameran statik antara aset terbabit adalah seperti ANKA (UAV), Agusta AW-189, Aero L-39 Albatros, CN235, FA-18 Super Hornet, Boeing P-8 Poseidon, MQ-9 Predator (UAV) dan F-15SG.

Sementara itu, bagi segmen maritim pula membabitkan sebanyak 43 kapal perang dan bot tempur dari 12 negara seperti Thailand, Brunei, India, Australia, China, Jepun, Vietnam, Sri Lanka, AS, Indonesia serta Korea Selatan.

Tarikan utama segmen maritim kali ini adalah demonstrasi menyelamatkan tebusan menggabungkan pelbagai agensi keselamatan maritim dalam negara.

Demonstrasi membabitkan pasukan khas atau elit negara diadakan setiap hari dan pengunjung juga berpeluang berjumpa pelakon filem PASKAL seperti Ammar Hairul dan Pijot di Resort World Langkawi.

Acara dwitahunan itu juga menyaksikan peningkatan jumlah pelepasan dan ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) iaitu daripada 38 kepada 42 sepanjang LIMA’19 berlangsung.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Shop By Categories