Huawei: Trump buat ‘U turn’

OSAKA: Presiden Donald Trump berkata, beliau akan membenarkan syarikat Amerika menjual peralatan kepada Huawei Technologies Co sebagai konsesi kepada China selepas rundingan dengan Presiden negara itu, Xi Jinping, di sini hari ini.

“Syarikat Amerika boleh menjual peralatan kepada Huawei.

“Kita memperkatakan mengenai peralatan yang tidak berkaitan dengan keselamatan negara,” katanya pada sidang media ketika persidangan G-20 di sini.

Bulan lalu, Jabatan Perdagangan Amerika meletakkan Huawei dalam senarai hitam, menghalang syarikat negara berkenaan, termasuk Google sebagai pemilik Android, berurus niaga dengan gergasi telekom China itu.

Bagaimanapun, sejumlah syarikat terlepas daripada sekatan itu manakala Google diberi pelepasan selama tiga bulan.

Bloomberg melaporkan, Trump yang bertemu Xi di persidangan ketika G-20 itu bersetuju menghentikan seketika perang dagang kedua-dua negara dan menurutnya, isu Huawei termasuk dalam perbincangan mereka.

“Saya kata O.K., iaitu kita meneruskan jualan produk, syarikat Amerika yang menghasilkan produk itu. Namun, ia amat kompleks.

“Saya bersetuju membenarkan mereka meneruskan jualan supaya syarikat Amerika meneruskan perniagaan,” kata Trump.

Amerika melancarkan kempen negatif terhadap Huawei, satu-satunya syarikat yang mempunyai teknologi 5G dengan mendakwa Huawei mengancam keselamatan negara kerana hubungan baiknya dengan kerajaan China.

Pentadbiran Trump menuduh kerajaan China boleh menggunakan produk dan teknologi Huawei untuk mengintip di negara yang menggunakan peralatan telekomunikasi Huawei.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Shop By Categories