Bapa, anak maut kemalangan bertembung sesama sendiri

Bapa, anak maut kemalangan bertembung sesama sendiri 1

Lokasi kemalangan di Jalan Stesen Keretapi, Kampung Jeram, Kubang Pasu

KUBANG PASU: Seorang bapa dan anak lelakinya maut selepas bertembung sesama sendiri dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di Jalan Stesen Keretapi, Kampung Jeram, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.45 malam itu, Ahmad Tarmizi Kadir, 50, meninggal dunia di tempat kejadian manakala anaknya, Muhammad Akhmal Ahmad Tarmizi, 16, meninggal dunia di Hospital Jitra selepas tercampak ke sawah.

Sepupu mangsa, Mohd Ridzuan Fadzil, 28, yang membonceng bersama Ahmad Tarmizi pula cedera ringan, sementara seorang lagi penunggang wanita berusia 40 tahun bersama anak perempuannya berusia empat tahun terselamat.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila dua motosikal dari arah sama bertembung dengan sebuah motosikal dari arah bertentangan yang hilang kawalan dan memasuki laluan terbabit.

Katanya, nahas berlaku apabila motosikal ditunggang Honda Muhammad Akhmal hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal Modenas Kriss ditunggang bapanya yang dalam perjalanan pulang ke rumah.

Motosikal Honda ditunggang wanita bersama anaknya pula berada di belakang Ahmad Tarmizi turut terbabas selepas gagal mengelak.

“Bapa meninggal dunia di tempat kejadian sementara anaknya meninggal dunia di hospital. Mayat dihantar ke Hospital Jitra untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, isteri mangsa, Rosmima Harim, 49, berkata dia hanya mengetahui suaminya terbabit dalam kemalangan selepas dimaklumkan oleh rakan anaknya.

“Sebaik tiba saya lihat suami sudah ditutup dengan kain manakala motosikal suami berkecai dan perasaan ketika itu tidak dapat digambarkan.

“Malah lutut menjadi lembik apabila rakan anak memberitahu Kemal (Akhmal) juga terbabit dalam kemalangan itu dan tercampak ke dalam sawah selepas bertembung sesama sendiri,” katanya.

Kredit: Berita Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Main Menu