Anggota Polis Dan Anak Dikhuatiri Lemas

Seorang anggota polis dikhuatiri lemas ketika cuba menyelamatkan anak lelakinya, yang terjatuh ke dalam Sungai Muar, di jeti berhampiran Istana Tanjung, di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Muar, ACP Zaharudin Rasip berkata berdasarkan maklumat yang diterima kira-kira 6.45 petang itu, Lans Koperal Mohd Fairuz Mohd Hashim, 36, bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar, dikatakan terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan anaknya, Muhammad Faqih Mohd Fairuz berusia tujuh tahun. Bagaimanapun, dipercayai ketika kejadian berlaku air pasang besar dan arus begitu laju, menyebabkan bapa dan anaknya hanyut ke dalam sungai.

Siasatan awal mendapati mangsa datang ke senteri Istana Tanjung untuk menghantar bungkusan makanan kepada rakannya yang bertugas di istana terbabit,” katanya. Beliau berkata difahamkan sebelum kejadian Mohd Fairuz datang ke istana tersebut bersama Muhammad Faqih dan dua lagi anaknya yang berusia sembilan dan empat tahun. Menurut Zaharudin ketika mangsa menghantar makanan kepada rakannya, tanpa disedari Muhammad Faqih berlari ke jeti dan terjatuh ke sungai, manakala dua lagi anaknya itu selamat.

Katanya, gerakan mencari mangsa dan anaknya dilancarkan membabitkan beberapa pasukan penyelamat termasuk polis marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Kementerian Kesihatan. Sehingga pukul 11.30 malam, operasi mencari belum menemui Mohd Fairuz dan anaknya. -Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Shop By Categories